BERNIAGALAH WALAUPUN UNTUNG 1 YUAN!
“Berniagalah wahai kawanku walaupun untung kamu hanya 1 yuan”.
Itu merupakan pesanan seorang pembekal saya di Guangzhou yang menjadi salah satu motivasi untuk saya terus kekal dalam bidang ini! Beliau menyatakan demikian apabila saya menyuarakan bahawa persekitaran perniagaan sekarang sangat mencabar akibat kejatuhan ringgit, kenaikan harga barang serta persaingan yang sengit. 1 yuan bersamaan dengan RM0.54.
Beliau merupakan minoriti muslim cina yang berasal dari wilayah Xinjiang. 10 tahun lepas, setelah menamatkan pengajian di salah sebuah universiti di Guangdong. Beliau mencuba nasib di Guangzhou dengan bekerja makan gaji sebelum memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan. Beliau mengusahakan perniagaan barangan elektronik. Persaingan sangat sengit kerana di sesebuah plaza borong terdapat beribu-ribu kedai yang menjual barangan yang sama@hampir sama.
Pada masa tersebut pemain mp4 mendapat permintaan tinggi tetapi margin untung semakin menurun iaitu serendah 1 yuan kerana para peniaga menurunkan harga untuk menarik pelanggan membeli dalam kuantiti yang banyak. Namun begitu beliau terus bertahan dengan produk tersebut di samping mencari produk-produk lain untuk meningkatkan jualan. Sebulan beliau mampu menjual 10000-20000pcs pemain mp4. Prinsip beliau ialah “jangan lepaskan peluang walau sekecil manapun peluang itu”. 
Antara tindakan yang beliau ambil:
  • terus menjual produk yang mendapat sambutan walaupun untung sedikit.
  • gandakan pemasaran untuk menjual sebanyak mungkin produk yang mempunyai margin rendah
  • beri jaminan kepada produk sekiranya berlaku kerosakan
  • wujudkan hubungan yang baik dengan pelanggan
  • peka dengan pasaran dan kewujudan produk baru
  • menghasilkan produk sendiri dengan melakukan inovasi terhadap produk yang sedia ada.
Tindakan beliau melakukan inovasi kepada produk yang sedia ada menjadikan beliau seorang usahawan muslim cina yang sangat berjaya. Sekarang ini produk yang beliau hasilkan dieksport hampir ke seluruh negara Islam…….margin untung yang kecil diatasi dengan permintaan yang tinggi!